18 Sep 2010

HALIA


Halia (nama botani: Zingiber officinale Roscoe) merupakan sejenis tumbuhan yang selalu digunakan sebagai rempah perasa dalam masakan. Tanaman ini dipercayai berasal dari China dan kemudian merebak penggunaannya ke India, Asia Tenggara, Afrika Barat dan Caribbean.

Antara negara yang banyak mengeluarkan halia ialah India, China, Nigeria, Australia dan Thailand. Penanaman halia di Malaysia boleh dikatakan masih diusahakan secara kecil-kecilan sebagai tanaman tunggal atau selingan bersama tanaman saka seperti nanas, pokok getah dan kelapa sawit.

Halia juga dikenali sebagai ginger (bahasa Inggeris), jahe, aliah, jae, lia (Indonesia), dan kinkh atau khing-daen (Thailand).

KEGUNAAN

Masakan dan makanan

Halia digunakan sebagai rempah perasa dalam masakan dalam bentuk halia segar, halia kering dan halia bergula. Halia juga boleh diproses sebagai serbuk halia, halia jeruk dan bahan perasa untuk pelbagai makanan seperti sos dan bakeri.

Perubatan


Biasanya dalam perubatan halia diambil dalam bentuk minuman halia, halia kering, air rebusan halia atau pati halia. Halia dikatakan dapat membantu menghadamkan makanan, menguatkan tenaga batin, menambahkan air mani dan membuang angin yang terdapat di dalam usus kecil dan usus besar. Ubat-ubatan dari halia juga dikatakan boleh mengawal beberapa penyakit seperti deman, batuk, migrin, sakit gigi, sakit tulang, sengugut dan sesak dada. Halia juga bersifat karminatif, stimulant dan pembunuh kuman jika diambil sebagai ubat. Penyelidikan yang dibuat oleh penyelidik Universiti Michigan yang diterbitkan di American Association of Cancer Research menunjukkan bahawa halia mampu membunuh sel barah.

Kegunaan lain

Halia boleh diproses untuk pengeluaran minyak dan hasil ekstrak. Bahan aktif dalam ekstrak halia ialah gingerols dan oleoresin. Minyak halia boleh dijadikan bahan perisa minuman buah-buahan, konfeksionari, kosmetik dan ubatan.

No comments:

Post a Comment

Where Are U From?